DATUK Seri Gopal Sri Ram. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Seri Gopal Sri Ram. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

DATUK Seri Gopal Sri Ram yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan tahu mengenai keputusan ujian Covid-19 yang dijalaninya, esok.

Ketika dihubungi Bernama, bekas hakim mahkamah persekutuan itu berkata, ujian dijalankan oleh pasukan perubatan diketuai Dr Ashween Kaur di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, minggu lalu.

“Keputusan akan diketahui esok. Tetapi, saya sihat. Saya akan teruskan tugas pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Khamis ini,” katanya dengan penuh yakin.

Khamis lalu, Sri Ram memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes perbicaraan 1MDB, bahawa beliau diminta menjalani ujian buat kali kedua kerana merupakan kontak rapat dengan dua pesakit dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19.

Pada hari sama, perbicaraan dilapangkan selepas mahkamah dimaklumkan oleh peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa iparnya juga kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19 dan telah berhubung secara terus dengan Muhammad Shafee pada 12 Mac.

Pada Jumaat lalu, Muhammad Shafee dan pasukan peguam belanya disahkan negatif virus itu.

Hakim Sequerah menetapkan Khamis ini untuk sambung bicara dengan Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan pihak pendakwaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 3:36 PM