NAJIB diminta menunggu dipekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, bagi rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB selepas tidak dibenarkan masuk berikutan paparan status MySejahtera beliau sebagai ‘kontak kasual’ dengan kes Covid-19. FOTO Hazreen Mohamad
NAJIB diminta menunggu dipekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, bagi rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB selepas tidak dibenarkan masuk berikutan paparan status MySejahtera beliau sebagai ‘kontak kasual’ dengan kes Covid-19. FOTO Hazreen Mohamad
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dijalankan secara hibrid.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah tidak menolak kemungkinan kes itu boleh diadakan secara hibrid pada masa hadapan.

"Berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk perbicaraan dikendalikan secara hibrid, selepas meneliti hujahan lisan dan memikirkan mengenai perkara ini, buat masa ini mahkamah menolak perkara itu.

"Bagaimanapun, mahkamah tidak menolak perkara itu (perbicaraan secara hibrid) dijalankan pada masa hadapan," katanya.

Mahkamah kemudiannya melapangkan perbicaraan itu sehingga Khamis ini, berikutan Najib dan peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dihalang dari memasuki kompleks mahkamah memandangkan status MySejahtera masing-masing diletakkan sebagai 'kontak kasual'.

Terdahulu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dan Muhammad Shafee tidak boleh memasuki bangunan mahkamah.

"Status anak guam menunjukkan beliau di bawah kategori 'kontak kasual' dan berada di tempat letak kereta serta tidak dibenarkan masuk.

"Kedua-dua mereka mempunyai kontak dengan anak lelaki Muhammad Shafee iaitu Muhammad Farhan yang positif Covid-19 pada 6 Disember lalu dan tempoh kuarantin selama 10 hari akan berakhir esok (Rabu)," katanya.

Perbicaraan kes itu pada Khamis akan diteruskan dengan soal balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir yang merupakan saksi ke-12 dan ke -13 pendakwaan.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon supaya perbicaraan kes itu dijalankan secara hibrid berikutan perubahan sebanyak dua kali pada status MySejahtera bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hanya membenarkan individu berstatus 'risiko rendah' atau berwarna biru dalam aplikasi MySejahtera untuk memasuki bangunan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:16 PM