Rokok seludup yang dirampas polis dalam Op Kontraban bernilai RM7.8 juta di Pulau Pinang, baru-baru ini. FOTO DANIAL SAAD
Rokok seludup yang dirampas polis dalam Op Kontraban bernilai RM7.8 juta di Pulau Pinang, baru-baru ini. FOTO DANIAL SAAD
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: RM5 bilion setahun. Itu harga terpaksa dibayar kerajaan akibat kehilangan hasil cukai daripada aktiviti penyeludupan rokok yang kini menguasai 60 peratus pasaran di negara ini.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, sindiket terbesar menguasai aktiviti haram itu di Malaysia kini adalah kumpulan Ben yang didalangi seorang lelaki bergelar Datuk.

Penguasaan Ben dalam aktiviti berkenaan menyebabkan dia kini digelar 'Raja Penyeludup' atau 'Bapa Segala Bapa'.

Susulan penguasaannya itu yang jelas merugikan negara, Skuad Khas Harian Metro menyusuri semula bagaimana Ben bermula dalam aktiviti berkenaan sehingga mampu mengembangkan empayarnya dan bergelar jutawan.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa, Ben yang menjadikan Johor sebagai pangkalannya bermula dengan melakukan aktiviti penyeludupan kecil-kecilan iaitu menyeludup tayar dan buah-buahan ke Singapura.

"Dia mula terbabit dalam penyeludupan rokok pada tahun 2012 sebelum permintaan barangan itu meningkat mendadak pada 2015 selepas kerajaan menaikkan cukai rokok sah sekali gus harga jualan rokok menjadi mahal.

"Disebabkan iti, dia 'naik tangan' sebelum mengembangkan rangkaian penyeludupannya. Sindiket didalangi Ben ini sangat tersusun dan teratur," katanya.

Menurutnya, Ben dan konsortium sindiket kendaliannya kini mengawal 60 peratus pasaran rokok di negara ini dan jika tidak dihalang, mereka mampu kuasai hingga 90 peratus.

"Mana tidaknya, kesan pandemik ini sebabkan ramai terjejas manakala rokok sah pula mahal berbanding harga rokok seludup. Perokok tegar tentunya akan pilih rokok seludup yang dijual dengan harga murah.

"Sekarang negara hilang RM5 bilion, jika tidak dikawal negara mampu kehilangan hingga RM10 bilion setiap tahun. Perkara ini tidak mustahil berlaku dengan kesan pandemik Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, rangkaian sindiket Ben mempunyai hirarki tersusun yang sistematik bagi melancarkan aktiviti penyeludupannya.

"Ben dah cuci tangan, dia kini dibantu pasukannya terdiri daripada bahagian kewangan, perundangan, transporter, simpanan (stor) hinggalah ke peruncit. Setiap bahagian Ben sudah letakkan cut off bertujuan mengelakkan masalah jika tertangkap pihak berkuasa.

"Transporter sahaja merangkumi perkapalan, bot, kenderaan darat serta laut. Ini bukan biasa-biasa. Mereka satu organisasi yang sangat tersusun," katanya.

Katanya, bagi 'mencuci wang', Ben dikatakan membuka banyak premis perniagaan sah terutamanya di Johor.

"Tidak cukup dengan itu, Ben juga dilaporkan menghidupkan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif membantu rakyat Malaysia yang susah," katanya tanpa menamakan NGO berkenaan.

Sumber itu berkata, hanya dengan komitmen jitu agensi penguatkuasaan dengan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ataupun Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sahaja kumpulan ini dapat dibanteras sepenuhnya.

"Hanya kesungguhan dan komitmen tinggi sahaja aktiviti yang menghilangkan hasil negara ini babitkan RM5 bilion setahun dapat dibanteras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 10:30 AM