Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau sindiket penyeludupan rokok di negara ini yang menghilangkan hasil negara hingga RM5 bilion setahun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, segala perkara berkaitan sindiket penyeludupan rokok ini dalam perhatian KDN untuk tindakan seterusnya.

"Jika hasil siasatan mendapati memang terdapat bukti berkaitan sindiket ini mereka akan ditahan dan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

"Kita nak pastikan yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan kerana isu penyeludupan ini menyebabkan kerugian kepada kerajaan," katanya.

DATUK Seri Hamzah Zainuddin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Hamzah Zainuddin. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan khas Harian Metro baru-baru ini yang mendedahkan, identiti Ben yang digelar 'Bapa Segala Bapa' dan 'Raja Penyeludup' yang mengawal aktiviti penyeludupan rokok di Semenanjung Malaysia.

Ketika ditanya mengenai pembabitan Ben sama ada KDN menerima maklumat atau tidak, Hamzah berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan hal itu kerana dalam strategi menangkap sindiket perkara itu tidak boleh didedahkan.

Dalam masa sama beliau menegaskan, kerajaan melalui OP Benteng akan memastikan semua barang seludup tidak akan dapat lagi masuk ke negara ini kerana kerajaan mengalami kerugian yang banyak kerana barang diseludup tidak dikenakan cukai.

"Kalau ini berlaku (seludup) ia merugikan kerajaan kerana orang luar yang mendapat untung dan sebab itu kita akan beri penekanan dengan memperketatkan kawalan di pintu sempadan dan lorong tikus.

"Hal ini supaya kerugian hasil negara dapat dikurangkan dari semasa ke semasa," katanya.

Harian Metro baru-baru ini mendedahkan, Ben memulakan perniagaan haramnya pada 2012 di Johor sebelum menjadi jutawan segera apabila kerajaan menaikkan kadar cukai rokok pada 2015 hingga rokok sah menjadi mahal.

Harga mahal rokok sah menyebabkan jualan rokok seludup kini menguasai lebih 60 peratus pasaran.

Selepas kerajaan mengetatkan kawalan berkaitan pelabuhan membabitkan transhipment, Ben didakwa kini bergantung kepada laluan laut.

Raja Penyeludup itu didakwa menjadikan perairan antarabangsa berhampiran kawasan Malaysia sebagai lokasi pemindahan rokok seludup dari kapal-kapal yang diubahsuai ke bot barter trade ataupun bot kecil sebelum diseludup barangan itu ke negara ini.

Berita berkaitan:

  • Raja Penyeludup kebal?
  • Ben 'Bapa Segala Bapa'
  • Raja penyeludup 'Ben': PDRM jangan diam diri - MCCF
  • Amaran pada sindiket!
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:27 PM