GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan rokok menghilangkan hasil negara hingga RM5 bilion setahun.

Kumpulan terbesar yang didakwa mendalangi sindiket penyeludupan rokok di negara ini adalah Ben yang dipercayai mempunyai konsortium khas di peringkat antarabangsa menghubungkan beberapa negara seperti Vietnam dan Indonesia.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa, Ben yang menjadikan Johor sebagai pengkalan mendapatkan bekalan pelbagai rokok jenis Canyon, John, U2 dan kretek dari Vietnam dan Indonesia sebelum menyeludupnya masuk ke negara ini melalui laluan laut.

"Ben yang kini sudah bergelar jutawan juga diangkat menjadi Bapa Segala Bapa atau Raja Penyeludup yang mengawal hampir keseluruhan aktiviti haram itu di Semenanjung. Ben bermula sebagai penyeludup tayar dan buah-buahan dari Singapura ke Johor Bahru. Kini dia menguasai penyeludupan rokok.

"Tidak dinafikan terdapat kumpulan lain dalam aktiviti ini tetapi Ben sekarang adalah (sindiket) terbesar di Malaysia," katanya.

Katanya, ada desas-desus mengatakan Ben kini berada di Macau dan menggerakkan aktiviti haramnya dari negara berkenaan.

Menjawab soalan wartawan, sumber itu berkata, beberapa agensi penguatkuasaan sudah mempunyai profil Ben namun tiada tindakan diambil terhadapnya setakat ini.

"Sebab itu timbul dakwaan Ben dijaga individu atau pihak tertentu daripada agensi penguatkuasaan. Tanpa bantuan itu mana mungkin Ben yang sebelum ini hanya bertapak di Johor boleh kembangkan empayarnya hingga menguasai hampir keseluruhan aktiviti penyeludupan di Semenanjung.

"Tanpa perlindungan sebegitu mana mungkin dia boleh berkembang. Ben sangat kebal," dakwanya.

Katanya, keseriusan kerajaan perlu dilakukan dalam memastikan kumpulan jenayah terancang seperti Ben yang melarikan hasil negara itu dapat dihapuskan sepenuhnya.

Harian Metro baru-baru ini mendedahkan, identiti Ben yang digelar Bapa Segala Bapa dan Raja Penyeludup yang mengawal aktiviti penyeludupan rokok di Semenanjung Malaysia.

Ben memulakan perniagaan haramnya pada 2012 di Johor sebelum menjadi jutawan segera apabila kerajaan menaikkan kadar cukai rokok pada tahun 2015 hingga rokok sah menjadi mahal.

Harga mahal rokok sah menyebabkan jualan rokok seludup kini menguasai lebih 60 peratus pasaran.

Selepas kerajaan mengetatkan kawalan berkaitan pelabuhan membabitkan transhipment, Ben didakwa kini bergantung kepada laluan laut.

Raja Penyeludup itu didakwa menjadikan perairan antarabangsa berhampiran kawasan Malaysia sebagai lokasi pemindahan rokok seludup dari kapal-kapal yang diubahsuai ke bot barter trade ataupun bot kecil sebelum diseludup barangan itu ke negara ini.

Berita berkaitan:

  • Ben 'Bapa Segala Bapa'

  • Raja penyeludup 'Ben': PDRM jangan diam diri - MCCF

  • Amaran pada sindiket!
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 9:57 PM