FOTO hiasan
FOTO hiasan
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan rokok yang menghilangkan hingga RM5 bilion hasil negara didalangi Ben didapati 'berlagak' seperti dermawan dengan banyak menyumbang untuk mengubah suai bangunan keagamaan atau membina kemudahan awam.

Mendedahkan perkara itu, Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE)-Cawangan Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar berkata, sumbangan itu dilakukan adalah bagi 'memenangi jiwa raga' penduduk sebelum 'menjebak' mereka untuk terbabit dalam kegiatan haram berkenaan.

"Pandemik Covid-19 dan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak terhadap kehidupan penduduk.

"Mengambil kesempatan daripada situasi itu, sindiket juga didapati memujuk dan mempengaruhi penduduk kampung supaya menyertai rantaian logistik penyeludupan mereka untuk menambahkan pendapatan.

"Bukan sesuatu yang mengejutkan disebabkan ini, nelayan dan petani memilih menyeludup rokok daripada kerja hakiki mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Akhbar Satar
Datuk Seri Akhbar Satar

Beliau berkata, lebih membimbangkan, ada pegawai penguatkuasaan undang-undang yang tamak dan tidak beretika turut terjerumus ke dalam perangkap sindiket ini.

"Sindiket penyeludupan sama ada secara rasuah atau mengugut kakitangan penguatkuasa yang ditempatkan di kawasan pedalaman supaya `menoleh ke tempat lain' dalam kegiatan penyeludupan.

"Jika tidak segera dihentikan, ekosistem berbahaya ini memberi ancaman serius terhadap struktur sosio-ekonomi penduduk pedalaman kita," katanya.

Harian Metro baru-baru ini mendedahkan, Ben memulakan perniagaan haramnya pada 2012 di Johor sebelum menjadi jutawan segera apabila kerajaan menaikkan kadar cukai rokok pada 2015 hingga rokok sah menjadi mahal.

Harga mahal rokok sah menyebabkan jualan rokok seludup kini menguasai lebih 60 peratus pasaran.

Selepas kerajaan mengetatkan kawalan berkaitan pelabuhan membabitkan transhipment, Ben didakwa kini bergantung kepada laluan laut.

Raja Penyeludup itu didakwa menjadikan perairan antarabangsa berhampiran kawasan Malaysia sebagai lokasi pemindahan rokok seludup dari kapal-kapal yang diubahsuai ke bot barter trade ataupun bot kecil sebelum diseludup barangan itu ke negara ini.

Berita berkaitan:

  • Raja Penyeludup kebal?
  • Ben 'Bapa Segala Bapa'
  • Raja penyeludup 'Ben': PDRM jangan diam diri - MCCF
  • Amaran pada sindiket!
  • KDN pantau sindiket seludup rokok [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 4:53 PM