LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu mewujudkan pasukan khas bagi membanteras penyeludupan rokok dan arak yang didalangi raja penyeludup dikenali sebagai 'Ben'.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Halim Ishak berkata, kedua-dua agensi penguatkuasaan berkenaan tidak boleh mendiamkan diri sebaliknya perlu bertindak agresif terutama membabitkan kegiatan yang merugikan negara.

"Amat mustahil dan menghairankan sekiranya pihak PDRM dan JKDM tidak mengetahui perkara ini yang menjadi lambakan di pasaran gelap.

"MCCF amat yakin dengan kepimpinan baharu PDRM yang diketuai Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani (Abdullah Sani) dan barisan pengarah baharu di lantik supaya dapat bekerjasama dengan JKDM dalam membanteras penyeludupan rokok dan arak yang di lakukan oleh 'Ben'," katanya kepada Harian Metro.

Halim yang juga bekas anggota Komando 69 (VAT69) berkata, aktiviti penyeludupan rokok dan arak bukanlah perkara baharu di negara ini malah pelbagai sindiket penyeludupan sudah berjaya dilumpuhkan sebelum ini.

"Apatah lagi ketika negara kini dalam perintah darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia lebih senang bagi pasukan khas untuk mengesan pergerakan mereka.

"Selain itu, kerjasama dengan rakan sejawat di negara luar juga perlu dieratkan bagi berkongsi maklumat terutama membabitkan aktiviti penyeludupan," katanya.

Menurutnya, rakyat berhak tahu tindakan yang sudah diambil oleh pihak berkuasa kerana ia membabitkan hasil negara dan kerugian kutipan cukai mencecah puluhan bilion ringgit setahun.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi laporan khasnya mendedahkan kegiatan seorang individu dikenali sebagai Ben yang didakwa menjadi 'Bapa Segala Bapa' atau 'Raja Penyeludup' rokok di negara ini.

Dia juga didakwa antara individu pertama menjalankan kegiatan haram itu di negara ini sebelum menjadi 'jutawan segera' apabila permintaan rokok seludup meningkat.

Permintaan rokok seludup melambung selepas kerajaan menaikkan kadar cukai rokok menyebabkan harga rokok sah dalam pasaran menjadi mahal bermula tahun 2015 menyebabkan Ben aktif menjalankan kegiatan berkenaan.

Berita berkaitan

  • Ben 'Bapa Segala Bapa'

  • Amaran pada sindiket!
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 4:30 PM