Oleh Mohamed Farid Noh


Kulai: "Tiba-tiba ibu mentua dan adik ipar jadi sesak nafas selepas terhidu bau busuk," kata Anuar Sain, 36, mangsa tumpahan kimia di Kampung Baru, Sengkang di sini, malam tadi.

Menurutnya, akibat insiden itu, ibu mentuanya, Azizah Mohamed, 61, serta adik iparnya, Amirah Natasha Johari, 19, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kulai kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, dia dan keluarganya yang lain turut terhidu bau busuk memualkan yang berlarutan sehingga hampir tiga jam.

"Namun hanya ibu mentua dan adik ipar yang sesak nafas sebelum muntah dan pening kepala menyebabkan kami bergegas membawa mereka ke hospital untuk rawatan.

"Bagaimanapun, keduanya dalam keadaan baik dan dibenarkan pulang ke rumah. Bau busuk juga sudah berkurangan.

"Namun kami sekeluarga bimbang kerana tinggal bersebelahan Sungai Sengkang terutamanya jika ia berulang," katanya ketika ditemui hari ini.

Ahli keluarga mangsa, Anuar Sain, 36. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahli keluarga mangsa, Anuar Sain, 36. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Hari ini media melaporkan, sebuah tangki bersaiz 1,000 liter mengandungi bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang pecah dan mengakibatkan bahan itu mengalir ke sungai berhampiran, semalam.

Tumpahan berkenaan dipercayai bahan kimia dari jenis Methyltriocdylam monium chloride, Hydrogen Peroxide Solution, N-Methyl Cyclohexylamine, namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membuat pemeriksaan lanjut.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, dia sekeluarga mula menyedari bau busuk berkenaan sejak jam 6.30 petang semalam.

Katanya, ketika itu dia baru pulang dari tempat kerja sebelum ternampak warna Sungai Sengkang bertukar hitam pekat.

"Saya dan keluarga pelik melihat air Sungai Sengkang yang sebelum ini jernih bertukar warna ke hitam pekat.

"Baunya pula sangat busuk seperti plastik yang dibakar. Sebelum ini, air sungai ini tidak pernah pula bertukar pada warna hitam," katanya.

Pegawai Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) mengambil sampel air sungai yang dilaporkan dicemari bahan kimia berpunca dari sebuah stor haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pegawai Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) mengambil sampel air sungai yang dilaporkan dicemari bahan kimia berpunca dari sebuah stor haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Berita berkaitan:

  • Tangki pecah, bahan kimia mengalir ke sungai
  • Tumpahan kimia dibimbangi cemari sumber utama air Kulai, JB
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 3:22 PM