Pasukan Hazmat menjalankan pemeriksaan di sungai berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Pasukan Hazmat menjalankan pemeriksaan di sungai berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


Kulai: Satu tangki bahan alkali dengan isi padu 1,000 liter di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang, Kulai di sini, pecah hingga mengakibatkan bahan kimia berkenaan mengalir ke sungai berhampiran, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan pada 8.22 malam.

Beliau berkata, sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dengan sebuah utiliti pacuan empat roda dengan kekuatan seramai 21 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat tumpahan bahan kimia iaitu jenis methyltriocdylam monium chloride, hydrogen peroxide solution, n-methyl cyclohexylamine.

"Terdapat 30 tangki yang mengandungi bahan alkali dan salah satu daripada tangki berkenaan pecah dan mengalir ke sungai yang berhampiran," katanya.

Beliau berkata, isi padu setiap tangki adalah kira-kira 1,000 liter.

"Terdapat dua mangsa di lokasi berhampiran mengalami gejala muntah. Bomba bertindak membuat tiga lapisan benteng bagi menghalang bahan buangan berkenaan daripada terus mengalir ke dalam sungai.

"Pengaliran bahan kimia berkenaan dapat dihentikan dan keadaan didapati selamat. Operasi ditamatkan pada 2.33 awal pagi ini," katanya menerusi kenyataan media.

Beliau berkata, pihaknya juga menyalurkan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 10:06 AM