ROZINA (kiri) bersama Abdul Rahim menceritakan pengalamannya. FOTO Farid Noh
ROZINA (kiri) bersama Abdul Rahim menceritakan pengalamannya. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bagai menghirup minyak pekat dan tersekat saluran pernafasan.

Itulah pengalaman seorang suri rumah yang sesak nafas sebelum pengsan akibat pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, kelmarin.

Rozina Ahmad, 46, berkata, insiden berkenaan adalah pengalaman paling menakutkannya apatah lagi beliau baru pulih daripada Covid-19, ketika insiden itu berlaku.

Katanya, rumah keluarganya yang terletak hanya 30 meter dari anak sungai lokasi sisa kimia berbahaya itu mengalir, menyebabkan keluarganya antara yang paling terjejas dalam insiden itu.

"Saya dan keluarga dapat menghidu bau busuk bermula 7 malam lagi sebelum ia berbau lebih pekat dan menyesakkan nafas.

"Pada mulanya saya ingat bau gas di dapur apatah lagi ketika itu sedang memasak, namun baunya mula membuatkan kepala kami semakin pening menyebabkan suami, Abdul Rahim Md Taib, 47, memeriksa di kawasan luar rumah punca bau itu.

"Suami kemudian memaklumkan kawasan anak sungai di hadapan rumah kami mengeluarkan kepulan asap dan wap seperti kabus yang berbau busuk sebelum meminta kami semua masuk ke dalam rumah.

"Bagaimanapun, kira-kira 9 malam, kakak saya, membuka pintu dan menjenguk ke luar rumah sebelum dia memaklumkan mengalami sesak nafas serta pening dan akhirnya pengsan," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 malam Selasa itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah, petang semalam.

Sementara itu, Rozina berkata, dalam kekalutan itu, suami kakaknya membawa isteri keluar rumah bagi mendapatkan bantuan sebelum mereka sekeluarga juga mengambil keputusan untuk ke rumah jiran yang jauh.

"Ketika itu bau busuk itu sudah memenuhi dalam rumah menyebabkan, saya mula mengalami batuk-batuk yang teruk. Kakak pula sudah dihantar ke hospital lebih awal.

"Dalam kekalutan itu, suami menelefon bomba sebelum saya terus muntah-muntah hampir 20 kali sebelum pengsan tidak lama kemudian.

"Saya hanya tersedar ketika sedang dirawat doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Doktor yang merawat saya turut memaklumkan bau kimia yang kuat dapat dihidu dari pakaian saya.

"Doktor kemudian membuat pemeriksaan darah selain memasukkan kamera ke dalam badan bagi memeriksa sama ada sisa kimia dihidu sudah memasuki badan berikutan saya sukar bernafas," katanya.

Rozina berkata, beliau bersyukur apabila doktor mengesahkan sisa kimia tidak memasuki badannya sebelum dibenarkan kembali ke rumah, petang semalam.

"Namun saya masih perlu mendapatkan rawatan susulan nanti jika mengalami sesak nafas apatah lagi tekat saya masih berasa pahit dan kering," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:56 PM