Mohamed Farid Noh

Kulai: Tumpahan bahan kimia di Kampung Baru Sengkang di sini, semalam berpunca dari stor simpanan haram.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Famey Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati tumpahan bahan kimia berwarna hitam itu dipercayai dibawa dari kawasan luar sebelum disimpan di stor haram itu.

Katanya, JAS Johor juga sedang mengenal pasti jenis bahan kimia berbau busuk yang menyebabkan dua penduduk dilaporkan mengalami sesak nafas dan muntah.

"JAS Johor menutup kawasan stor haram ini dan siasatan turut mendapati status tanah ini juga adalah tanah pertanian. Kita sedang menyiasat mengapa bahan kimia berkenaan disimpan di sini dan dari mana ia dibawa.

"JAS juga sudah mengambil sampel tumpahan bahan kimia yang berpunca dari stor haram ini untuk dianalisis kandungan sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPKu, Natazha Hariss.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel tumpahan bahan kimia sebuah stor haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel tumpahan bahan kimia sebuah stor haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Menurutnya, JAS akan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah mengikut Akta 127 Akta Kualiti Alam sekeliling 1974 kerana pelupusan bahan kimia secara haram.

"Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) juga mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemilik tanah kerana menyebabkan pencemaran sungai berhampiran.

Sementara itu, Famey berkata, JAS Johor juga sedang memasang 'oil boom' sebagai langkah pencegahan mengekang tumpahan kimia berkenaan memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai.

"Pemantauan sedang dilakukan secara berterusan bagi memastikan tiada kebocoran pada empangan atau perangkap yang dibina Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kulai.

"Jika berlaku juga kebocoran tumpahan, JAS akan menyedut bahan kimia itu menggunakan peralatan khas.

"Setakat ini kerja penimbusan tumpahan kimia sedang giat dijalankan di stor haram ini bagi memastikan sisa kimia tidak melepaskan gas ke udara selain tidak mencemari sungai berdekatan," katanya.

Beliau turut memuji kepantasan tindakan JBPM Kulai yang membina tiga empangan kecil bagi memerangkap tumpahan bahan kimia dari terus mengalir ke sungai berhampiran.

Katanya, JAS juga akan merakam percakapan pemilik tanah dalam masa terdekat bagi menyiasat lanjut bagaimana bahan kimia itu dibawa masuk dan disimpan secara haram di lokasi berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Tangki pecah, bahan kimia mengalir ke sungai
  • Tumpahan kimia dibimbangi cemari sumber utama air Kulai, JB
  • Sesak nafas, muntah, pening kepala terhidu bahan kimia tumpah [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:31 PM