Mohamed Farid Noh


Kulai: Tumpahan bahan kimia dari sebuah stor di kawasan Kampung Baru Sengkang di sini, dibimbangi mencemarkan sumber air penduduk daerah ini dan Johor Bahru.

Ia berikutan terdapat sisa tumpahan bahan kimia berwarna hitam pekat dan berbau busuk dikesan memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai yang menjadi punca sumber air utama dua daerah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Tinggi Bahtiar Selamat berkata, bagi mengelakkan lebih banyak bahan kimia memasuki sumber air utama berkenaan, pihaknya membina tiga empangan kecil sebagai tapisan serta memerangkap bahan itu.

Katanya, tindakan berkenaan dibuat kira-kira jam 9 malam tadi bagi mengelakkan lebih banyak tumpahan bahan kimia memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai.

"Alhamdulillah, pemeriksaan yang dilakukan mendapati tindakan membuat empangan berjaya memerangkap lebih banyak tumpahan kimia berkenaan memasuki dua sungai berkenaan.

"Namun bomba akan meneruskan pemantauan di kawasan berhampiran bagi memastikan tumpahan itu tidak bocor.

"Lokasi tumpahan kimia ini berada satu kilometer dari penempatan penduduk di Kampung Sengkang, di mana dua wanita dilaporkan mengalami simptom loya dan muntah-muntah, malam tadi," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar memantau di lokasi punca tumpahan dipercayai  bahan kimia di Jalan Besar, Kg Baru, Sengkang, Kulai. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pegawai Jabatan Alam Sekitar memantau di lokasi punca tumpahan dipercayai bahan kimia di Jalan Besar, Kg Baru, Sengkang, Kulai. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Hari ini media melaporkan, sebuah tangki berisi 1,000 liter bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang itu pecah dan mengalir ke sungai berhampiran, semalam.

Tumpahan berkenaan dipercayai bahan kimia dari jenis Methyltriocdylam monium chloride, Hydrogen Peroxide Solution, N-Methyl Cyclohexylamine, namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membuat pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, tinjauan di lokasi tumpahan mendapati stori berkenaan terletak kira-kira tiga kilometer dari Jalan Besar Sengkang-Felda Inas, di sini.

Tumpahan yang berwarna hitam pekat itu berbau busuk sehingga menimbulkan rasa mual sesiapa yang menghidunya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 2:49 PM