MOHAMED Azmin Ali. FOTO Bernama
MOHAMED Azmin Ali. FOTO Bernama
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: "Saya jamin tiada lagi total lockdown (penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi)," kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, langkah itu tidak boleh dilakukan kerana ia memberi kesan yang amat besar terhadap ekonomi keluarga sekali gus negara ini.

"Ya sebab saya sudah beritahu dan kementerian pun sudah beritahu pendirian kerajaan, hari ini kita mesti bertindak mengikut data dan sains.

"Mungkin peringkat awal dahulu, kita tiada pengalaman , kita tidak cukup data untuk bertindak tetapi sekarang sudah dua tahun, kita tak boleh tanggung untuk melaksanakan total lockdown.

"Kesan terhadap pekerjaan amat besar, tiga bulan pertama tahun 2020 apabila kita laksanakan PKP (perintah kawalan pergerakan) penuh, kadar pengangguran kita naik ke 5.3 peratus , seramai 826,000 orang hilang pekerjaan.

"Satu pekerja hilang pekerjaan dia akan membabitkan satu keluarga, mungkin empat atau lima orang, kalau kali lima sudah hampir lima juta rakyat Malaysia tidak ada pendapatan dan tidak mampu meletakkan makanan di atas meja untuk keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina bersama Dewan Perniagaaan Cina Batu Pahat di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat Boo Chin Liong dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Azmin berkata, sekiranya ada peningkatan ataupun kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19, kerajaan akan mengambil pendekatan bersasar.

"Kita tak boleh lakukan itu (total lockdown), ya, pandemik sesuatu yang perlu kita uruskan dengan efektif.

"Soal kesihatan kita akan usahakan yang terbaik, tetapi kesihatan ekonomi juga penting , inilah tanggungjawab kita untuk pastikan keseimbangan," katanya.

Semalam, jumlah kes baharu Covid-19 terus menunjukkan trend peningkatan dengan sebanyak 11,034 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Menerusi akaun Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 2,925,254 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 9:32 AM