GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Majlis akad nikah dibenarkan di Sarawak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), mulai esok.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS hari ini, akad nikah pasangan yang sudah mendapat kebenaran berkahwin hanya boleh dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Bahagian atau Daerah dan premis MIS dengan beberapa syarat yang harus dipatuhi.

Antara syarat itu ialah kehadiran maksimum yang dibenarkan adalah seramai lapan orang, termasuk jurunikah dan saksi serta tertakluk kepada kapasiti ruang yang digunakan.

"Majlis adat seperti pertukaran barang hantaran, menyarung cincin atau seumpamanya dan kenduri bagi meraikan akad nikah adalah tidak dibenarkan," kata kenyataan itu.

Selain itu, semua yang hadir wajib mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera dan menunjukkan status risiko di dalam aplikasi tersebut kepada petugas pendaftaran masuk premis.

Hanya individu yang berstatus risiko rendah serta suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah celcius dibenarkan hadir.

Semua yang hadir juga perlu sentiasa memakai pelitup mulut dan hidung, mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman, tidak berjabat tangan dan mematuhi masa temu janji yang telah ditetapkan.

"Tempoh akad nikah bagi setiap pasangan haruslah tidak melebihi 20 minit termasuk lafaz taklik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 2:57 PM