Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan ubah suai rumah membabitkan kerugian RM84,550 dengan penahanan dua lelaki warga asing, awal bulan ini.

Sindiket didalangi lelaki warga Singapura yang menggunakan nama Peter dan Hugo itu mensasarkan pembeli kondominium baharu dengan kebanyakan mangsa golongan profesional seperti juruaudit, jurutera serta doktor.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung kes penipuan ubah suai rumah pada 3 November lalu, selepas menerima laporan daripada empat pemilik kondominium di Sentul.

Menurutnya, semua mangsa mendakwa dihubungi suspek yang menyamar sebagai ejen pengurusan hartanah dengan menawarkan pakej ubah suai rumah bernilai antara RM14,000 sehingga RM20,000.

"Suspek turut menyediakan pakej pembelian perabot dan barangan elektrik serta perkhidmatan mendapatkan penyewa. Mangsa yang berminat akan membuat bayaran selepas mencapai persetujuan.

"Selepas membuat bayaran, mangsa akan ditunjukkan gambar dan video perabot serta barangan elektrik yang siap dipasang di rumah mangsa seperti pakej ditawarkan. Tetapi apabila mangsa ke rumahnya untuk melihat sendiri pengubahsuaian dilakukan mendapati kesemua barangan yang dipasang sudah tiada.

"Ada juga rumah yang ditukar kunci oleh suspek menyebabkan pemilik tidak dapat masuk dan suspek memberi alasan tidak mahu barang disimpan dalam rumah berkenaan hilang. Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek gagal dihubungi," katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

BEH menunjukkan perabot yang dirampas daripada sindiket penipuan ubah suai rumah. FOTO Owee Ah Chun
BEH menunjukkan perabot yang dirampas daripada sindiket penipuan ubah suai rumah. FOTO Owee Ah Chun

Beh berkata, siasatan mendapati sindiket membuka semula barangan dipasang selepas menunjukkannya kepada mangsa bagi dipasang ke rumah mangsa lain yang diperdaya suspek menggunakan modus operandi sama.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Sentul berjaya mengesan dan menahan dua lelaki masing-masing warga Singapura dan Bangladesh berusia 40 hingga 50 tahun di sebuah apartment di Pantai Dalam, pada 7.30 malam, 5 November lalu.

"Kedua-dua suspek yang bertindak sebagai pengurus dan pekerja mengaku melakukan penipuan itu. Mereka mendakwa sudah memperdaya kira-kira 40 pemilik rumah di sekitar Kuala Lumpur," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan dalang utama bernama Andy Ong Chee Siong, 47, atau dikenali Peter dan Hugo yang masih bebas.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ruzanna di talian 010-4425916 atau IPD Sentul di talian 03-40482222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:26 PM