PIHAK KPDNHEP melakukan siasatan di sebuah premis  memproses semula berpuluh tan minyak masak subsidi sekilogram di Johor.
PIHAK KPDNHEP melakukan siasatan di sebuah premis memproses semula berpuluh tan minyak masak subsidi sekilogram di Johor.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Papan tanda premis tertera kilang menjual ayam proses, namun pemeriksaan di dalamnya tidak ada seekor ayam pun ditemui.

Itu antara taktik digunakan sindiket penyelewengan barang kawalan berjadual membabitkan minyak masak peket sekilogram (kg) subisidi dalam skala besar beroperasi di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah dan di Taman Perindustrian Pekan Nenas, Johor.

Kegiatan penyelewengan didalangi sindiket itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melakukan serbuan dan rampasan terbesar membabitkan lebih 36 tan minyak masak subsidi yang cuba diseludup ke luar negara.

Sumber berkata, kejayaan terbesar itu adalah hasil risikan Seksyen Perisikan (SPR) KPDNHEP Putrajaya yang melakukan intipan sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan sindiket menggunakan khidmat 'tentera semut' untuk membeli minyak masak peket 1kg di kedai-kedai sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain sebelum dibawa ke Johor untuk dikumpulkan.

"Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Gelang Patah, jam 12 tengah hari semalam, selepas pihak KPDNHEP selepas menerima maklumat lokasi itu dijadikan stor penyimpanan dan transit minyak masak subsidi.

"Dua individu warga tempatan ditahan ketika serbuan dilakukan sebelum pihak KPDNHEP menemui lebih 15 tan minyak masak peket satu kilogram yang disembunyikan di dalam premis tanpa lesen itu," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati minyak masak subsidi itu dibeli dari Lembah Klang, Pahang dan Perak sebelum dibawa ke Johor untuk diproses semula.

"Dalam serbuan kedua di Pekan Nenas, pihak KPDNHEP mendapati premis itu ditinggalkan oleh ahli sindiket yang dipercayai menghidu kehadiran pihak berkuasa lebih awal.

"Siasatan menemui pelbagai peralatan digunakan untuk mengeluarkan minyak masak dari peket sekilogram itu sebelum disalurkan ke dalam tangki khas," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP tidak menolak kemungkinan semua minyak masak subsidi itu akan dibotolkan semula dan diseludup ke luar negara.

"Malah ada kemungkinan ia turut dijual di dalam negara pada harga bukan subsidi. Ini jelas memberikan keuntungan besar pada sindiket mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

"Hasil dua serbuan ini, KPDNHEP merampas lebih 36 tan minyak masak subsidi dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM100,000," katanya.

Dia berkata, terdapat 'orang upahan' dibayar sindiket untuk membeli minyak masak di kedai-kedai atau pasar raya sebelum minyak masak subsidi itu dikumpulkan dan dihantar ke Johor.

"Dalam isu ini, pemborong minyak masak tidak terbabit dalam penyelewengan," katanya.

Dia berkata, rampasan terbaru itu disifatkan antara kejayaan terbesar KPDNHEP menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak subsidi paket sekilogram yang bermatlamat untuk membantu golongan miskin dan rakyat kurang berkemampuan.

"Susulan itu semua peralatan dan minyak masak ditemui itu dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 9(1) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Pada Khamis lalu, KPDNHEP Cawangan Timur Laut, Pulau Pinang turut menyita 1,000kg minyak masak peket yang disembunyikan di dalam stor berhampiran premis perniagaan borong sayur-sayuran

Sehari sebelum itu, KPDNHEP Kelantan turut merampas minyak masak paket bersubsidi seberat 2.48 tan yang cuba diseludup ke negara jiran menggunakan lori pasir di pangkalan haram Mat Yih, Jeram Perdah, Kelantan, Selasa lalu.

Sindiket dikesan menggunakan lori pasir lima tan untuk memunggah minyak masak paket bersubsidi dari premis pembungkus minyak masak berlesen di Pasir Puteh sebelum diseludup ke negara jiran.

PEGAWAI KPDNHEP memeriksa alatan digunakan untuk memindahkan minyak masak subsidi ke dalam tangki khas.
PEGAWAI KPDNHEP memeriksa alatan digunakan untuk memindahkan minyak masak subsidi ke dalam tangki khas.

25 syarikat digantung, tarik semula kuota

Putrajaya: Tidak beri muka apabila sebanyak 25 syarikat 'tamak' digantung dan ditarik balik kuota selepas terbabit dengan penyelewengan barang kawalan dan subsidi meliputi minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasi, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan dan audit bagi mencegah syarikat pembungkus dan pemborong minyak masak supaya tidak terbabit atau bersekongkol dengan sindiket.

"KPDNHEP meneruskan usaha membanteras beberapa aktiviti penyelewengan barang kawalan dan subsidi meliputi minyak masak bersubsidi paket polibeg satu kilogram (kg) ke botol 2kg, 3kg dan 5kg.

"Ia termasuk membanteras penyelewengan dan pemindahan LPG bersubsidi dari tong 14kg ke tong kegunaan industri untuk dijual pada harga pasaran dengan keuntungan yang tinggi atau diseludup ke negara jiran.

"Jenayah sebegini memberi impak besar kepada bekalan barangan di pasaran untuk kegunaan rakyat Malaysia dan pada masa sama menyebabkan kerajaan menanggung kerugian berjuta ringgit dalam peruntukan subsidi khusus untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat," katanya.

Shamsul Nizam berkata, pihaknya memandang serius terhadap mana-mana syarikat yang didapati terbabit dalam aktiviti penyelewengan seumpama itu terutama syarikat-syarikat yang diberi lesen dan kuota untuk pembungkusan dan pembotolan barang kawalan dan subsidi.

Katanya, semua kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 21, AKB 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) PPKB 1974 kerana berurusan secara mengilang atau borong atau runcit, kesalahan lain termasuk di bawah Seksyen 20 (1) membabitkan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi peket 1kg di tempat yang tidak dilesenkan juga turut disiasat.

"Semua kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) iaitu kesalahan, pengubahan wang haram turut juga dijalankan bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucuthakan ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutama membabitkan minyak masak dan LPG.

"Sekiranya mereka didapati bersalah, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menyifatkan isu penyeludupan dan penyelewengan minyak masak subsidi antara kegiatan jenayah masih sukar dibendung sepenuhnya.

"Lebih memeritkan apabila rakyat tidak dapat menikmati subsidi minyak yang disediakan oleh kerajaan apatah lagi harga minyak masak di dalam botol agak mahal.

"Satu mekanisme ampuh perlu dilakukan supaya isu ketirisan barangan subsidi selain petrol dan gas LPG tidak terus dijadikan sasaran sindiket tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 12:01 PM