MOHD Rahmat menunjukkan udang galah yang diternaknya.
MOHD Rahmat menunjukkan udang galah yang diternaknya.
Nazdy Harun

Walaupun berdepan pelbagai rintangan dan cabaran, dua sahabat karib mengusahakan satu-satunya kolam ternakan udang galah di Terengganu yang turut mempunyai pusat pembenihan udang galah di atas bukit di Kampung Kua, Kuala Berang, Terengganu.

Mohd Rahmat Saimi, 32, berkata, selepas dua tahun mengusahakan penternakan udang galah dengan benihnya dibeli daripada pembekal di Manjung, Perak dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), kini dia dan rakan kongsinya, Syed Mohd Imran Syed Ahmad, 24, beralih melakukan pembenihan sendiri untuk mendapatkan benih udang bagi penternakan.

“Akhir tahun lalu saya bersama Syed Mohd Imran membelanjakan RM25,000 untuk membina pusat pembenihan seluas 15 meter panjang dan lima meter lebar selain mempunyai kelengkapan pembenihan antaranya tangki gentian kaca, gas oksigen dan akuarium.

“Ternakan udang galah diusahakan sejak 2016 ini mempunyai 28 kolam, namun buat masa ini hanya 12 kolam yang aktif dan mengeluarkan hasil antara 45 hingga 48 kilogram udang setiap kolam, manakala putaran pengeluaran hasil ialah dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya pusat pembenihan sendiri mereka kini tidak perlu lagi mendapatkan benih daripada pihak luar kerana setiap kolam memerlukan 2,500 hingga 3,000 benih udang yang mendapat permintaannya paling tinggi khususnya dalam pengusaha kolam pancing di sekitar Terengganu.

Mohd Rahmat berkata, pusat pembenihan udang galah yang diwujudkan bersama rakan pada penghujung tahun lalu kini mempunyai 70,000 benih udang galah yang sudah menetas dan berada di dalam tangki asuhan.

MOHD Rahmat bersama Syed Mohd Imran menunjukkan udang galah yang dijala.
MOHD Rahmat bersama Syed Mohd Imran menunjukkan udang galah yang dijala.

“Benih udang galah ini dijangka dimasukkan ke dalam kolam ternakan kami di atas bukit berhampiran kampung ini pada April nanti.

“Induk udang galah diperoleh daripada individu yang menjalankan aktiviti membubu udang di Sungai Nerus, Kuala Nerus dan dengan adanya pusat ini saya bersama rakan dapat menjimatkan kos membeli benih, selain dapat menternak udang dalam kuantiti lebih banyak,” katanya.

Menurutnya, udang galah terbabit diternak secara konvensional tanpa menggunakan alat pengudaraan dan ketahanan udang daripada serangan penyakit mendorong dia dan rakan memperluaskan perusahaan yang dijalankan ini.

“Kawasan kolam yang terletak kira-kira empat kilometer dari laluan utama dan berada di atas bukit membolehkan setiap kolam dibekalkan dengan air bukit pada setiap masa.

“Selain itu, proses menuai hasil juga lebih mudah apabila saluran dibuka bagi mengeringkan kolam untuk tujuan penuaian hasil,” katanya.

Beliau berkata, kolam bersaiz 12 meter panjang dan lapan meter lebar itu mampu memuatkan 3,000 anak udang galah yang diperoleh hasil bantuan Jabatan Perikanan Daerah Hulu Terengganu dan Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar, Glemi Lemi, Jabatan Perikanan, Jelebu, Negeri Sembilan.

Katanya, kos permulaan agak tinggi iaitu RM20,000 kerana perlu menyewa jengkaut untuk membina kolam di kawasan bukit itu, namun usaha yang dilakukan amat memuaskan hati apabila udang yang diternak dapat dijual selain permintaannya tinggi.

PEGAWAI Jabatan Perikanan Terengganu melakukan lawatan ke pusat pembenihan udang galah.
PEGAWAI Jabatan Perikanan Terengganu melakukan lawatan ke pusat pembenihan udang galah.

“Kolam ini tidak memerlukan penjagaan khusus kerana kami hanya membiarkan saja udang di dalam kolam, selain tidak menggunakan sebarang peralatan moden yang memerlukan pengawasan sepanjang masa.

“Kami yakin usaha ini dapat menyuntik semangat rakan sekampung dan belia lain untuk turut sama menceburi bidang ternakan udang galah dan kami sedia membantu memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Zawawi Ali, ketika meninjau kolam ternakan dan pusat pembenihan udang galah itu berkata, pihaknya menyambut baik usaha kedua sahabat itu kerana mereka adalah satu-satunya penternak udang galah di negeri ini.

“Jabatan akan membantu pengusaha berkenaan yang mana sebelum ini sudah ada pegawai daripada pusat penyelidik daripada Negeri Sembilan yang datang membantu kedua penternak ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:01 AM