ORANG ramai menjalani ujian saringan Covid-19 percuma. FOTO arkib NSTP
ORANG ramai menjalani ujian saringan Covid-19 percuma. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sejumlah 97,565 individu disaring menerusi program saringan percuma yang dilaksanakan kerajaan Selangor di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan 3,342 individu atau 3.43 peratus dikesan positif Covid-19 sepanjang tempoh program berkenaan dilaksanakan.

"Mengikuti keberkesanan dan kepentingan khidmat saringan ini, kerajaan negeri akan meneruskan ujian saringan Covid-19 percuma dalam fasa ke tiga yang mensasarkan 100,000 individu.

"Saringan kali ini akan memberi tumpuan kepada kawasan 'hotspot' kes Covid-19 serta kawasan industri dan perkilangan. "Terima kasih warga Selangor sekalian yang hadir serta tidak lupa petugas dan badan berkuasa yang terbabit sepanjang program ini," tulisnya di Twitter.

Sementara itu, Pengurus Selangor Health Care (SelCare), Mohd Noor Md Nasir berkata, susulan pengumuman Menteri Besar itu, pihaknya akan meneruskan program saringan berkenaan di lapan lokasi yang dikenal pasti mempunyai kadar positif melebihi lima peratus.

Katanya, pihaknya merancang untuk melaksanakan program berkenaan 19 Jun ini bagaimanapun ia tertakluk kepada kebenaran daripada kerajaan negeri.

"Saringan berkenaan akan dijalankan di Dun Kajang; Semenyih; Bukit Antarabangsa; Hulu Kelang; Gombak Setia; Sungai Tua; Taman Templer dan Taman Medan," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, berdasarkan data yang dikongsi Dun Subang Jaya merekodkan kehadiran untuk saringan paling tinggi iaitu 5,096 orang manakala Sungai Air Tawar paling sedikit dengan 191 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:27 PM