SEBAHAGIAN penduduk sekitar Puchong melakukan saringan Covid-19 pada program saringan percuma DUN Sri Serdang. FOTO Hazreen Mohamad.
SEBAHAGIAN penduduk sekitar Puchong melakukan saringan Covid-19 pada program saringan percuma DUN Sri Serdang. FOTO Hazreen Mohamad.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 24,331 individu disaring menerusi program saringan percuma yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor sejak 8 Mei hingga semalam.

Pengurus Selangor Health Care (SelCare), Mohd Noor Md Nasir berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,353 dikesan positif Covid-19.

"Jumlah individu positif mewakili kira-kira 5.6 peratus daripada keseluruhan individu yang sudah disaring sehingga semalam.

"Sepanjang tempoh lapan hari ini, golongan produktif iaitu individu berusia 20 hingga 40 tahun dikesan sebagai kumpulan yang positif tanpa gejala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Noor berkata, kumpulan berkenaan disifatkan sebagai 'pembawa senyap' virus Covid-19 kerana tidak menunjukkan gejala tetapi dikesan positif menerusi ujian saringan yang dijalankan.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata, bagi memastikan individu yang berpotensi positif Covid-19 hadir untuk saringan tanpa merisikokan individu lain, pihaknya sentiasa memastikan penjarakan fizikal dipatuhi.

Katanya, individu yang disaring juga diminta untuk terus pulang ke rumah selepas melakukan saringan.

"Individu yang melakukan saringan boleh memeriksa keputusan ujian dalam tempoh 24 jam selepas ujian menerusi aplikasi SElangkah digunakan untuk pendaftaran bagi program saringan.

"Program ini akan diteruskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dan Seri Setia esok," katanya.

Program saringan percuma itu adalah inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan di 56 DUN bermula 8 Mei hingga 10 Jun depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 5:17 PM