Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Negeri akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara bersasar terhadap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan di Selangor dalam tempoh dua bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, saringan bersasar terhadap kumpulan itu dibuat susulan skop pekerjaan mereka yang sentiasa bergerak dalam masyarakat di Selangor.

"Kumpulan saringan bersasar ini adalah mengikut apa yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Covid-19 Selangor dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kami juga ada terima maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (mengenai kelompok untuk saringan bersasar)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad.
GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang ingin mengetahui kawasan yang mungkin dilaksanakan ujian saringan bersasar memandangkan jumlah kes Covid-19 di Selangor semakin meningkat.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memaklumkan kerajaan negeri sudah memperuntukkan hampir RM3 juta untuk melaksanakan dua fasa Saringan Komuniti Covid-19 bagi memutuskan rantaian wabak berkenaan di negeri ini.

Katanya, RM1.6 juta untuk fasa pertama yang dilaksanakan pada Mac dan April manakala RM1.36 juta lagi untuk fasa kedua bermula Ogos yang masih berterusan sehingga kini.

"Menerusi fasa pertama seramai 5,433 individu disaring dan mengesan 10 kes positif manakala seramai 912 disaring setakat ini dalam fasa kedua.

"Saringan fasa kedua sedang berjalan dengan mensasarkan rakyat negeri ini yang pulang dari Sabah serta kawasan berisiko tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 1:23 PM