GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua lagi kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Usaha di Selangor dan Kluster Tembaga di Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu membabitkan daerah Klang dan Petaling di Selangor sudah merekodkan 17 kes positif.

"Kes indeks bagi kluster itu (kes ke-30,697) dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 16 lagi kes positif Covid-19 dan kesemua mereka dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Sehingga kini, seramai 25 individu disaring termasuk 17 positif manakala lima individu dikesan negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Kluster Tembaga, Dr Noor Hisham berkata, kluster itu membabitkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang dengan tujuh individu dikesan positif.

Menurutnya, kes indeks kluster itu (kes ke-29,359) dikesan positif Covid-19 hasil saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) pada 28 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak enam lagi kes positif dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 69 individu disaring termasuk tujuh kes positif, manakala 13 individu dikesan negatif dan 49 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:55 PM