Hafidzual Hilmi Mohd Noor dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tiga lagi kluster baharu berkaitan jangkitan Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikenalpasti di Perak, Kedah dan Selangor.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster Lekir dikenal pasti di Manjung, Perak yang sudah menjangkiti enam individu dengan kes indeks bagi kluster itu (kes ke-17,528) didapati positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19.

"Setakat jam 12 tengah hari ini, 144 individu disaring dan enam kes dikesan positif Covid-19, dua negatif manakala 136 lagi individu disaring masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Buntar dikesan membabitkan Kuala Muda di Kerian dan Putrajaya.

Katanya, kes indeks bagi Kluster Buntar (iaitu kes ke-18,035) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

"Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, 51 individu disaring dengan lapan disahkan positif Covid-19 manakala bakinya masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Merbok pula membabitkan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Petaling di Selangor.

Menurut Dr Noor Hisham, kes indeks bagi Kluster Merbok (iaitu kes ke-17,983) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, 270 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif Covid-19 manakala 261 lagi individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 8:05 PM