Zaid Salim


Kuala Berang: Kampung Tajin di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini akan dikawal menerusi tiga sekatan jalan raya (SJR).

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, SJR itu masing-masing di KM 3 dan KM6 (berhadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu) Jalan Gaung-Kuala Ping dekat Kampung Telaga, selain KM8 Jalan Kuala Berang-Tajin-Telemong.

"Seramai 70 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan terbabit penugasan ini selama 24 jam.

"Lokasi SJR ini pula adalah laluan utama Kuala Berang ke Kenyir dan Sungai Tong, Setiu dan tiada jalan tikus dikenal pasti," katanya kepada media ketika meninjau persiapan SJR itu, hari ini.

Mohd Adli (kiri) memantau lalauan kenderaan di sekatan Jalan Raya (SJR) susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula tengah malam ni sehingga 25 Jun 2021. FOTO GHAZALI KORI
Mohd Adli (kiri) memantau lalauan kenderaan di sekatan Jalan Raya (SJR) susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula tengah malam ni sehingga 25 Jun 2021. FOTO GHAZALI KORI

Mohd Adli berkata, perkampungan itu mempunyai 1,403 penduduk dengan 270 rumah dan pergerakan keluar masuk ke situ dilarang kecuali mereka yang mempunyai kebenaran pihak berkuasa.

Sementara itu, katanya, penduduk kawasan sekitar yang perlu ke bandar Kuala Berang diminta menggunakan laluan alternatif melalui persimpangan Kampung Kuala Ping atau Kepah menghala ke Kuala Pueh dan Kampung Gaung.

"Bagi penduduk kampung di laluan Tajin-Kampung Imam Lapar-Telemong yang perlu ke bandar untuk beli barang keperluan, boleh melalui SJR dengan mendaftar diri dan mengemukakan bukti perjalanan," katanya.

PKPD di Kampung Tajin berlangsung dua minggu hingga 25 Jun selepas merekodkan 31 kes positif Covid-19 dengan kadar positiviti 6.17 peratus.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 8:10 PM