GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di beberapa kawasan di Pahang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak bermula Sabtu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan PKPD di Pahang adalah Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur.

Menurutnya, ia susulan kawasan berkenaan merekodkan 38 kes secara keseluruhan iaitu 24 kes di Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah (6 kes) dan Taman Temerloh Makmur (8 kes) hasil daripada 407 ujian saringan dijalankan.

"PKPD di Terengganu membabitkan Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu yang merekodkan 31 kes positif Covid-19 dengan kadar positiviti 6.17 peratus.

"Manakala PKPD di Johor pula membabitkan Ladang Tereh Mill, Kluang yang merekodkan sebanyak 24 kes positif dengan kadar positiviti 15.6 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Sabah, Ismail Sabri berkata, PKPD akan dilaksanakan di Lorong Pasir Putih 1 Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara apabila 16 daripada 17 individu disaring disahkan positif dengan kadar positiviti 94.12 peratus.

Selain itu, katanya, PKPD di Sarawak adalah Kampung Kolong 2 di Kuching yang sudah merekodkan 29 kes positif.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Mukim Sitiawan, Manjung, Perak.

Turut ditamatkan tiga PKPD di Sabah iaitu Kampung Mook, Kinarut, Papar; Kampung Baru Durok, Keningau dan Kampung Sungai Langgas, Kunak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:07 PM