Baharom Bakar


Kuala Berang: Dua sekatan jalan raya (SJR) baharu diadakan di daerah Hulu Terengganu berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) seperti diumumkan kerajaan berkuat kuasa, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dua SJR baharu masing-masing di Kampung Batu 18, Ajil dan hadapan Balai Polis Kuala Telemong.

Katanya, lima SJR sedia ada adalah berhampiran Jambatan Kuala Berang, Kampung Paya Besar, Kampung Lebak, Batu 23 dan Kampung Kuala Kejir.

"Lima SJR itu dibuka selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakann Diperketatkan (PKPD) mukim Kuala Berang membabitkan 23 kampung sejak Jumaat lalu.

"Dua SJR baharu diadakan mulai semalam selepas kerajaan mengumumkan SPP, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Adli, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) warga Hulu Terengganu sejak pelaksanaan PKPD di mukim Kuala Berang adalah sebanyak 95 peratus.

Katanya, tiada kes penduduk Hulu Terengganu dikenakan tindakan saman atas kesalahan gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Setakat ini, tiada notis kompaun dikeluarkan di atas kesalahan merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid meminta orang ramai terutama penduduk di mukim Kuala Berang supaya terus mengekalkan pematuhan SOP.

Katanya, berdasarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), sebanyak 256 kes positif Covid-19 dilaporkan di daerah Hulu Terengganu.

"Mukim Kuala Berang merekodkan 75 kes, Hulu Telemong (68), Tanggol (44), Jenagor (30), Penghulu Diman (16), Hulu Berang (12), Tersat (enam) dan Telemong (5)," katanya ketika menyantuni petugas barisan hadapan di beberapa lokasi SJR, di sini, hari ini.

DATUK Rosol Wahid (dua kanan) meninjau SJR di Kuala Berang, hari ini. FOTO Baharom Bakar
DATUK Rosol Wahid (dua kanan) meninjau SJR di Kuala Berang, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 7:12 PM