Baharom Bakar

Kuala Berang: Lima Sekatan Jalan Raya (SJR) di laluan utama dan empat di laluan tikus di mukim Kuala Berang akan diadakan berkuat kuasa tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, SJR diadakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Kuala Berang berkuat kuasa esok hingga 11 Jun depan.

Beliau berkata, jumlah penduduk tinggal di mukim Kuala Berang seramai 17,000 membabitkan 23 kampung.

"Kami akan mengadakan empat SJR di laluan tikus yang menghubungkan beberapa kampung untuk ke bandar Kuala Berang.

"Keluasan mukim Kuala Berang yang terbabit PKPD adalah 7,000 hektar membabitkan 3,500 kediaman," katanya pada sidang media selepas memantau pemasangan penghadang jalan di laluan utama Kuala Terengganu ke Kuala Berang, di sini, hari ini.

Mohd Adli (kanan) bersama pegawinya sedang memasang kon plastik di jalan utama Kuala Terengganu-Kuala Berang susulan pelaksanaan PKPD di Mukim Kuala Berang, berkuat kuasa esok. FOTO BAHAROM BAKAR
Mohd Adli (kanan) bersama pegawinya sedang memasang kon plastik di jalan utama Kuala Terengganu-Kuala Berang susulan pelaksanaan PKPD di Mukim Kuala Berang, berkuat kuasa esok. FOTO BAHAROM BAKAR

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mukim Kuala Berang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok hingga 11 Jun depan susulan berlaku peningkatan kes Covid-19 ketara kebelakangan ini.

Mohd Adli berkata, SJR akan dilakukan di dua hala iaitu laluan keluar dan masuk ke Kuala Berang.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk mukim Kuala Berang supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengurangkan penularan wabak berkenaan.

Menurutnya, 80 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rela terbabit melaksanakan SJR berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 3:05 PM