Rosol (kiri) menyampaikan sumbangan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya di Kampung Tajin. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Rosol (kiri) menyampaikan sumbangan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya di Kampung Tajin. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 473 kompaun dengan nilai keseluruhan RM2.94 juta atas kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, kesemua kompaun itu adalah hasil lebih 600,000 pemeriksaan terhadap premis, peniaga dan individu bermula Mei tahun lalu hingga semalam.

Beliau berkata, ia membabitkan kesalahan antaranya gagal mengamalkan penjarakan fizikal, tidak mendaftarkan masuk melalui aplikasi MySejahtera, tidak menulis rekod kemasukan di buku log, gagal melaksanakan had maksima kemasukan pelanggan dan gagal mematuhi waktu operasi.

"Semua kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kita bukan sewenang-wenangnya menyaman atau mengeluarkan kompaun, tetapi kita beri didikan dan nasihat dulu tetapi jika mereka degil, tindakan kompaun akan diambil.

"Kita tahu dalam keadaan sekarang rakyat susah untuk mendapatkan duit dan sebab itu, kita cuba nak elak daripada mengeluarkan saman dan ia (kompaun) langkah terakhir diambil jika pelanggaran SOP terus berlaku," katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tajin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya kadar pematuhan SOP adalah memuaskan iaitu pada tahap 98.5 peratus.

Katanya, pemain industri dan orang ramai dinasihatkan tidak mengambil mudah mengenai kepentingan menjaga SOP bagi mengelak risiko jangkitan dan kewujudan kluster baharu Covid-19.

"Ini kerana ia akan merencatkan serta menyukarkan usaha pemulihan ekonomi, sektor perniagaan dan perdagangan domestik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 5:20 PM