Baharudin Mat Taib
Baharudin Mat Taib
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Sebanyak 32 kilang dan premis perniagaan dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerusi Op Patuh Bersepadu yang diadakan mulai 2 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan pemantauan ke atas 374 kilang dan premis perniagaan.

"Sebanyak 19 majikan kilang dan 13 majikan premis perniagaan masing-masing dikompaun sebanyak RM10,000, sementara sembilan pekerja masing-masing dikompaun RM2,000.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai kompaun adalah sebanyak RM338,000. Tindakan kompaun dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, antara kesalahan utama yang dikenal pasti sepanjang Op Patuh Bersepadu itu adalah empat kilang/premis perniagaan beroperasi tanpa surat kebenaran : Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan bukan kategori perkhidmatan perlu.

"Sebanyak dua kilang/premis perniagaan beroperasi melebihi had pekerja yang dibenarkan seramai 60 peratus manakala lima lagi gagal mendaftar senarai pekerja kepada MITI dan tiada nama dalam senarai MITI.

"Tujuh gagal menyediakan laluan keluar dan masuk serta gagal memastikan pekerja mengimbas MySejahtera dan satu membenarkan pekerja makan di kantin kilang.

"Sembilan pekerja yang dikompaun pula tidak mengimbas MySejahtera," katanya.

Beliau berkata, Op Patuh Bersepadu itu membabitkan kekuatan 78 pegawai dan anggota pasukan Pematuhan Task Force, pasukan Pemantauan Balai dan dibantu pasukan sahabat iaitu MITI, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kita akan meneruskan Op Patuh

dalam usaha membanteras segala aktiviti pengoperasian ketidakpatuhan SOP PKPD dan mengambil tindakan tegas terhadap semua sektor perkilangan dan premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP PKPD," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 5:33 PM