GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sebanyak 510 kilang diperiksa dan 113 antaranya diarahkan tutup selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sejak 1 Jun hingga semalam.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam usaha memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi SOP sepanjang PKP menyeluruh, kerajaan melaksanakan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati melanggar SOP.

"Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 510 kilang dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 kilang diarahkan tutup.

"Secara kumulatifnya sebanyak 24,942 kilang dan premis perniagaan diperiksa sejak 14 Januari lalu membabitkan 22,819 premis perniagaan dan 2,123 kilang.

"Sehingga kini, 167 kilang dan 17 premis bukan kilang diarahkan tutup," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara kumulatifnya sejak 1 Jun sehingga semalam melaksanakan 33,010 pemeriksaan.

"Sebanyak 2,027 pemeriksaan pematuhan harian dilaksanakan dan sebanyak 12 kompaun dikeluarkan ke atas premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP PKP, semalam," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 852 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 821 individu dikompaun manakala 31 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah 175 individu dikenakan tindakan kerana tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (143) dan gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (129).

"Selain itu, tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (94), membawa penumpang berlebihan (45) dan lain-lain kesalahan (266)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:01 PM