ANGGOTA penguatkuasa MPKK menjalankan pemantauan di beberapa premis di daerah Kulim untuk memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan. FOTO Ihsan MPKK
ANGGOTA penguatkuasa MPKK menjalankan pemantauan di beberapa premis di daerah Kulim untuk memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan. FOTO Ihsan MPKK
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Sebanyak 11 premis perniagaan termasuk kilang di daerah ini diarahkan tutup serta-merta kerana gagal mengemukakan surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) ini.

Arahan itu dikeluarkan hasil pemantauan dilakukan Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) bersama polis berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Yang Dipertua MPKK, Dr Nadzman Mustafa berkata, terdapat premis terbabit yang didapati bercanggah apabila menjalankan aktiviti perniagaan selain daripada kelulusan MITI.

Menurutnya, dua premis nombor ramalan yang didapati beroperasi turut dikompaun RM2,000 setiap satu.

"Setakat semalam, sebanyak 1,741 premis diperiksa membabitkan kilang, restoran, bank, pasar, penjaja dan premis perniagaan.

"Bagaimanapun, sebanyak 113 premis diberi teguran dan amaran tegas supaya mematuhi arahan SOP PKP," katanya dalam kenyataan, hari ini..

Menurutnya, MPKK sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun bagi kesalahan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Katanya, orang ramai disarankan supaya mematuhi SOP seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:22 PM