CHOW Kon Yeow. FOTO Mikail Ong.
CHOW Kon Yeow. FOTO Mikail Ong.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang mengulangi ketegasannya untuk meneruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) walaupun mendapat desakan dari pelbagai pihak yang mahu ia dibatalkan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, PSR tidak akan dihentikan memandangkan pelbagai proses sudah diambil dan dilakukan sejak bertahun-tahun lalu termasuk menjelaskan berhubung kepentingan projek berkenaan.

"Kita tidak perlu memilih antara PSR dan alam sekitar serta nelayan. Kemajuan teknologi serta kejuruteraan membolehkan kita membangunkan PSR, dan pada masa sama tetap memelihara alam sekitar dan masyarakat.

"Dalam pada itu, kerajaan negeri tidak pernah menafikan projek ini akan memberi kesan malah selalu berkongsi dengan masyarakat tentang rancangan untuk mengurangkan kesannya.

"Ia termasuk mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan untuk nelayan dan penduduk setempat lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Chow berkata, apa yang lebih penting adalah mempertimbangkan faedah sosioekonomi yang bakal diperoleh melalui PSR ke Pulau Pinang yang mempunyai nilai lebih besar daripada pulangan wang.

"Penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang dirangsang oleh pelaburan domestik serta antarabangsa akan memberikan kestabilan kewangan dan keselamatan kepada rakyat.

"Sementara inisiatif hijau seperti pembangunan dan pengangkutan rendah karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan penyediaan ruang terbuka akan menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup serta kesejahteraan awam selama beberapa dekad yang akan datang. Manfaat ini juga harus diambil kira," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri percaya semua perkara berkenaan dapat dicapai dan syarat kelulusan ketat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan dipatuhi.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP), dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 4:38 PM