Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Sikap kerajaan Pulau Pinang mahu meneruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) membimbangkan banyak pihak khususnya nelayan kerana didakwa akan mengancam ekosistem semulajadi berikutan aktiviti pembuangan keladak atau selut ke dalam laut sekali gus menjejaskan kualiti air dan hidupan marin.

Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Zikrullah Ismail berkata, pihaknya pelik bagaimana projek itu mahu diteruskan sedangkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) masih belum diluluskan.

Menurutnya, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) tampil tidak menyokong pelaksanaan projek itu kerana lebih banyak kesan negatif berbanding positif.

Katanya, melalui semakan kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mendapati sebelum proses penambakan itu berlangsung tanah dalam laut perlu dikorek maka selut akan dibuang di satu tempat yang berdekatan dengan sebuah pulau.

"Apa yang merisaukan dari segi alam sekitar adalah apabila berlakunya proses penambakan itu, pastinya selut hasil daripada kerja mengorek berkenaan akan dibuang ke dalam laut.

"Perkara ini pasti menyebabkan kualiti air tercemar sekali gus menyebabkan hidupan marin tidak dapat hidup.

Lokasi pembangunan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) di kawasan Permatang Damar Laut. FOTO MIKAIL ONG
Lokasi pembangunan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) di kawasan Permatang Damar Laut. FOTO MIKAIL ONG

"Kebanyakan nelayan nampak benda ini kerana sebelum ini ada projek lain yang mereka korek kemudian buang dalam laut, selepas beberapa tahun kemudian keladak yang dikorek datang balik lalu mencemarkan alam sekitar," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, selut yang dikorek pasti akan datang semula memandangkan bawah laut masih ada arus yang kesannya dapat diketahui beberapa tahun kemudian.

"Berkali-kali perkara ini diajukan dan dibantah dengan memberi sebab sama, namun ia masih ingin diteruskan.

"Lokasi yang ingin dijalankan projek PSR ini pula didapati kawasan berteluk dan terlindung maka banyak nelayan suka pergi situ untuk menangkap udang.

"Kerajaan negeri ada bagi pandangan bahawa nelayan boleh pergi menangkap hasil laut kerana kawasan luas tetapi buat apa mereka pergi ke kawasan yang jauh sedangkan yang dekat ada," katanya.

Katanya, Lekas tidak menyokong PSR dilaksanakan, namun jika ia diteruskan perlu memastikan EMP diluluskan serta janji awal kepada nelayan dapat ditepati.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggarkan bernilai RM49 bilion.

Projek mega itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi dikatakan paling teruk terjejas, selain ia dilaporkan boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 4:53 PM