Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu keputusan laporan penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang dihantar buat kali kedua kepada Jabatan Alam Sekitar (Jas) pada 29 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, laporan EIA terbabit sudah dibuat penambahbaikan berbanding laporan awal yang dikemukakan pada 2019, tetapi ditolak Jas pada 2021.

"Saya ingin menjelaskan permohonan semakan kehakiman dibuat melibatkan EIA pertama pada 2019 dan bukan EIA terbaharu ini supaya keputusan yang dibuat berdasarkan perkara teknikal boleh dibuat pindaan.

"Jadi untuk EIA yang dikemukakan semula itu, kita ada berjumpa dan membuat pembentangan kepada panel (Jas) dan masih tunggu laporan keputusan untuk memuktamadkan keperluan dalam EIA tersebut termasuk aku janji yang perlu dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program pendidikan anak nelayan Pulau Pinang Selatan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) PSR di kampus Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.

Farizan berkata, mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) prosedur operasi standard (SOP) keputusan EIA terbaharu itu sepatutnya diperoleh pada bulan ini, namun ia tertakluk kepada bidang kuasa Jas.

Katanya, jika EIA itu mendapat kelulusan, pihaknya akan mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) sebagai tindakan lanjut, yang antaranya mengandungi perincian syarat pelaksanaan serta amalan pematuhan kerja di kawasan terbabit.

Sebelum ini, Lembaga Rayuan Jas mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah Jas yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan Lembaga Rayuan Jas itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 5:43 PM
Farizan Darus (kanan) mengadakan sidang media ketika ditemui pada majlis Perasmian Program-Program Pendidikan di bawah Skim Social Impact Management Plan (SIMP) bagi projek Penang South Islands (PSI) di Dewan Utama A, Universiti Sains Malaysia di sini.  FOTO MIKAIL ONG
Farizan Darus (kanan) mengadakan sidang media ketika ditemui pada majlis Perasmian Program-Program Pendidikan di bawah Skim Social Impact Management Plan (SIMP) bagi projek Penang South Islands (PSI) di Dewan Utama A, Universiti Sains Malaysia di sini. FOTO MIKAIL ONG