Pegawai Pertanian Sabak Bernam Aini Waznati Lasuan (kiri) bersama Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail (kanan) menunjukkan pisang berangan yang akan diagihkan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Pegawai Pertanian Sabak Bernam Aini Waznati Lasuan (kiri) bersama Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail (kanan) menunjukkan pisang berangan yang akan diagihkan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Sebanyak tiga tan pisang berangan yang mengalami masalah lambakan diagihkan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima, di sini, hari ini.

Pegawai Pertanian Sabak Bernam Aini Waznati Lasuan berkata, selain itu, ia juga diagihkan ke pejabat kerajaan, klinik kesihatan, balai polis dan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Sabak Bernam.

Beliau berkata, agihan itu inisiatif Jabatan Pertanian Sabak Bernam melalui program promosi hasil pertanian bagi membantu mengatasi masalah lambakan di daerah ini.

"Pada 3 Jun lalu, Jabatan Pertanian Negeri Selangor membuat program sama dengan mengagihkan 2.5 tan pisang ke pejabat kerajaan, balai polis, hospital dan penjara di sekitar Lembah Klang.

"Untuk makluman, lambakan hasil pertanian ini bukan sahaja melibatkan pisang berangan dan pisang tanduk, tetapi juga jagung, ubi kayu dan cili.

"Jumlah keseluruhan tanaman sebanyak 175.9 metrik tan membabitkan pisang berangan (105.1 metrik tan), pisang tanduk (59.5 metrik tan), jagung (3.6 metrik tan), ubi kayu (30 metrik tan) dan cili (1.47 metrik tan).

"Ia membabitkan 29 petani di Sabak Bernam dengan membabitkan keluasan 41.51 hektar tanaman komoditi. Anggaran keseluruhan nilai hasil pertanian itu berjumlah RM503,770.

"Ini yang dilaporkan kepada kita (Jabatan Pertanian Sabak Bernam) tetapi sebenarnya ada ramai lagi (yang tidak melaporkan hasil lambakan)," katanya, hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sabak Bernam di Taman Pertama. Hadir sama, Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail.

Dalam pada itu, Aini Waznati berkata, hasil pertanian itu datang daripada pekebun di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Sabak Bernam.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan berlakunya masalah lambakan sekali gus menyebabkan harganya jatuh.

"Harga ladang (pisang) sebelum ini RM2.50 untuk satu kilogram iaitu bagi pisang berangan.

"Tetapi, disebabkan PKP, ia turun kepada RM1 hingga RM1.50," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 5:38 PM