Puluhan lori tanah dikesan mengangkut tanah dari kuari di Bukit Cherakah dengan melalui laluan Taman Permai dan Taman Pekerti, Jeram, sejak 10 tahun lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Puluhan lori tanah dikesan mengangkut tanah dari kuari di Bukit Cherakah dengan melalui laluan Taman Permai dan Taman Pekerti, Jeram, sejak 10 tahun lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Ketika di seluruh negara lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) situasi sebaliknya berlaku di Taman Permai dan Taman Pekerti, Jeram, di sini, apabila puluhan lori tanah keluar dan masuk mengangkut tanah dari kuari di Bukit Cherakah.

Kebanyakan pemandu lori juga seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya dengan memandu secara berbahaya selain membawa lebih muatan serta tidak menggunakan kanvas menutup muatan.

Lebih memeritkan, keadaan laluan di dua taman perumahan didiami kira-kira 800 penduduk berdebu apabila cuaca panas serta berlumpur pada musim hujan.

Penduduk Taman Permai, Mohd Fauzi Jaafar, 45, berkata, situasi itu berlaku selepas aktiviti mengangkut tanah dijalankan melalui laluan taman perumahan terbabit sejak 10 tahun lalu.

Beliau mendakwa, walaupun PKP dikuatkuasakan 1 Jun lalu, ia tetap beroperasi seperti biasa hingga menimbulkan tanda tanya penduduk berhubung kebenaran menjalankan operasi.

Katanya, penduduk juga terpaksa menghirup udara berhabuk ketika cuaca panas yang secara tidak langsung membahayakan kesihatan, khususnya warga emas dan kanak-kanak.

"Jarak antara kuari dengan dua taman perumahan kami kira-kira tiga kilometer. Terdapat kira-kira 80 lori keluar dan masuk melalui laluan ini dan mereka memulakan operasi seawal jam 4.30 pagi setiap hari.

"Apa yang membimbangkan, ada penduduk memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan lori hingga mendatangkan kecederaan kepada pengguna jalan raya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi penduduk Taman Pekerti, Muhamad Zawavi Sairen, 43, berharap pihak bertanggungjawab membantu menyelesaikan masalah itu dengan melakukan pemantauan berterusan terhadap kenderaan berat terbabit.

Dakwanya, penduduk pernah dimarahi oleh pemandu lori kerana ditegur membawa kenderaan secara berbahaya.

"Kami tidak mahu masalah ini berterusan hingga menyusahkan penduduk untuk menggunakan laluan itu. Perkara paling penting ialah keselamatan dan kesihatan penduduk setempat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum aduan orang awam mengenai keadaan yang berlaku.

"Kita akan membuat penjelasan menerusi kenyataan media dalam waktu terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 3:54 PM