Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor hanya meluluskan tiga syarikat untuk menjalankan aktiviti pengalihan bahan batuan (tanah merah) sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula 1 Jun hingga 14 Jun nanti.

Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji berkata, operasi dua daripada tiga syarikat itu bertujuan mengalih dan mengangkat bahan batuan untuk kegunaan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (JSL).

"Kelulusan yang dibuat merujuk daripada surat permohonan oleh Worldwide Holdings Berhad untuk membekal bahan batuan (tanah merah) bagi kegunaan JSL yang termasuk dalam 'essential service'," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Selain itu, Mohd Faizal berkata, sebuah lagi syarikat diberi kelulusan untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan cerun dengan merujuk surat pengesahan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sehubungan itu, tegas beliau, syarikat-syarikat ini hanya menjalankan aktiviti dengan tujuan yang diluluskan sahaja.

"Pentadbiran ini akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana syarikat yang melanggar arahan seperti yang jelas dinyatakan dalam surat kebenaran," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 800 penduduk di Taman Pekerti dan Taman Permai, Jeram, di sini, resah susulan puluhan lori tanah keluar dan masuk untuk aktiviti mengangkut tanah dari kuari di Bukit Cherakah.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila keadaan laluan di dua taman perumahan teruk dan berdebu apabila cuaca panas serta berlumpur pada musim hujan.

Berita berkaitan:

  • Lori bawa muatan tanah keluar masuk resahkan penduduk
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 5:55 PM