OPERASI kuari terlalu hampir dengan kawasan perumahan di Sungai Ara, menyebabkan insiden 'batu terbang' yang mengenai bumbung rumah penduduk. FOTO ihsan penduduk.
OPERASI kuari terlalu hampir dengan kawasan perumahan di Sungai Ara, menyebabkan insiden 'batu terbang' yang mengenai bumbung rumah penduduk. FOTO ihsan penduduk.
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Penduduk di sekitar Sungai Ara, di sini, resah dan tidak dapat tidur lena berikutan kuari beroperasi terlalu hampir dengan beberapa kawasan perumahan, sejak awal tahun ini.

Penduduk berhadapan dengan aktiviti pemecahan bongkah batu sehingga menyebabkan kawasan perumahan berhampiran mengalami pelbagai insiden, seperti keretakan pada dinding rumah dan lantai serta berhabuk.

Antara kejiranan terkesan ialah Setia Pulau Mutiara I, II dan III serta Stramax Residences.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, pihaknya menerima beberapa aduan mengenai operasi kuari itu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk.

Katanya, paling membahayakan ialah kejadian 'batu terbang' yang mengenai rumah penduduk berhampiran.

"Penduduk bimbang lori yang membawa muatan batu kuari boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya, malah mereka kerap mendengar letupan kuat luar biasa, dipercayai dari projek kuari batu terbabit.

"Difahamkan operasi kuari ini berkaitan dengan kerja tanah bagi pembangunan projek perumahan baru dan pengalaman lalu menunjukkan pembangunan di lereng bukit boleh membawa padah sekiranya berlaku gelongsoran tanah, lebih-lebih lagi semasa musim hujan lebat ini," katanya.

Meenakshi berkata, SAM khuatir jika perkara itu tidak ditangani segera, risiko terhadap keselamatan penduduk dan orang ramai akan terancam selain mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, SAM menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya mengkaji semula operasi kuari di kawasan itu.

Sementara itu, penduduk Setia Pulau Mutiara, Askin Meera, 55, berkata laporan polis sudah dibuat pada Februari lalu mengenai letupan kuat yang menggegarkan kejiranan berkenaan dan kes itu dikatakan masih dalam siasatan.

Katanya, wakil penduduk sudah menghantar surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Julai lalu bagi menyatakan bantahan terhadap operasi kuari itu, namun masih tiada jawapan balas.

"Rumah saya antara paling hampir dengan kawasan itu dan kami diancam kejadian tanah runtuh pada bulan lalu.

"Walaupun ia hanya kejadian kecil, kami tidak menolak kemungkinan ia adalah petanda sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 5:35 PM