FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
SamadiAhmad


Putrajaya: Seramai 18,621 pengasuh di 5,326 Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia bagi memastikan persekitaran yang terbaik untuk kanak-kanak terjamin.

"Ia susulan peningkatan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak amat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian serius.

"Sehingga 18 Mei lalu dilaporkan seramai 64,046 kanak-kanak dijangkiti Covid-19, dan jumlah itu amat tinggi berbanding 8,369 kes yang dilaporkan sepanjang 2020," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, semua pihak yang mempunyai hubungan dan interaksi terus dengan kanak-kanak juga digesa meningkatkan kesedaran mengenai bahaya jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, golongan itu termasuk ibu bapa, penjaga, pengendali pusat jagaan kanak-kanak, pengusaha dan pengasuh Taska.

"Ini bagi membolehkan mereka bertindak lebih proaktif untuk menilai perkara yang dapat meminimumkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak.

"Semua pihak perlu berperanan memastikan kanak-kanak sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pastikan tidak membawa kanak-kanak keluar ke tempat awam kecuali bagi tujuan kecemasan, rawatan dan pendidikan," katanya.

Rina berkata, beliau mahu semua ibu bapa dan penjaga agar memberi keutamaan terhadap penjagaan dan tahap kesihatan kanak-kanak.

Katanya, golongan itu perlu dididik dan diberi maklumat mengenai pematuhan SOP dan mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelak daripada dijangkiti virus Covid-19.

"Saya akan terus berusaha untuk memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak di negara ini sentiasa terpelihara," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyarankan agar kajian terhadap tahap keberkesanan vaksin untuk kanak-kanak bawah usia 18 tahun dipercepatkan supaya kadar peningkatan jangkitan kepada kanak-kanak dapat dikurangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 9:29 PM