GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tindakan ibu bapa membuat kuarantin kendiri bagi anak-anak yang didapati tidak sihat adalah wajar untuk membendung penularan Covid-19.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, apabila memasuki fasa endemik, masyarakat sudah perlu mengubah cara pemikiran untuk lebih matang dan berfikiran terbuka.

Katanya, orang ramai perlu mempunyai tanggungjawab sosial dan lebih peka dengan keadaan kesihatan diri sendiri dan keluarga terutama kanak-kanak.

"Ramai kanak-kanak tidak ke sekolah kerana demam dan selesema, lebih-lebih lagi selepas beraya di kampung, memang cuaca menjadi salah satu faktor, malah perjalanan pulang ke kampung 'memakan' masa yang panjang antara sembilan ke 14 jam dan duduk di tempat tertutup juga mendedahkan lagi risiko penyakit terhadap kanak-kanak.

 "Di sinilah peranan ibu bapa sangat penting untuk membuat ujian saliva Covid-19 untuk memastikan sama ada dijangkiti Covid atau tidak.

"Jika tidak mahu membawa anak-anak ke klinik, ibu bapa perlu pastikan membuat kuarantin dan duduk di rumah," katanya.

Beliau berkata, pada fasa ini, guru juga faham situasi anak murid yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana tidak sihat.

 "Paling penting, ibu bapa perlu ada tanggungjawab sosial dan tidak meletakkan anak mereka yang tidak sihat ini di taska atau membiarkan kanak-kanak ini hadir ke sekolah," katanya.

Menurutnya, duduk di rumah adalah kaedah terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan dan sikap toleransi majikan atau guru memainkan peranan penting.

"Pastikan jika anak positif Covid-19, jangan ambil mudah dengan menghantar mereka ke pengasuh atau ke sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 4:49 PM