SETIAP kanak-kanak di Taska Si Comel Perbadanan Putrajaya akan diperiksa suhunya sebanyak tiga kali sehari bagi mengekang penularan Covid-19, Jun lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
SETIAP kanak-kanak di Taska Si Comel Perbadanan Putrajaya akan diperiksa suhunya sebanyak tiga kali sehari bagi mengekang penularan Covid-19, Jun lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam pengoperasian taska amat dititik beratkan supaya tiada kluster baharu dalam kalangan kanak-kanak.

Presiden Persatuan Pengusaha dan Pendidik Awal Kanak-kanak Kuala Lumpur, Husen Mohd Yusof Khan berkata, SOP yang digunakan kini adalah sama seperti yang dikuat kuasakan kerajaan sebelum ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak ke taska kerana SOP yang begitu ketat akan dipatuhi.

"Operasi taska yang diteruskan akan mengikuti semua SOP kerajaan kerana kesihatan dan keselamatan anak-anak adalah menjadi keutamaan.

"Pemeriksaan suhu, tahap kesihatan dan kebersihan anak-anak dan premis taska akan diutamakan pengusaha kerana golongan ini juga berisiko tinggi dijangkiti Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, pengusaha taska juga dinasihatkan untuk mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan.

Katanya, kebenaran beroperasi semula ini memberi sedikit ruang kepada pengusaha untuk meneruskan perniagaan walaupun dalam kapasiti yang berkurangan.

"Walaupun jumlah kanak-kanak yang dihantar bukan dalam kapasiti penuh namun pengusaha masih boleh beroperasi dengan bayaran yang diterima.

"Pengusaha kini tetap cuba meneruskan operasi walaupun sukar kerana dihimpit krisis kewangan," katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memaklumkan kerajaan membenarkan taska beroperasi sepanjang PKPB.

Pengusaha diminta untuk memohon kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sebelum dibenarkan beroperasi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 4:15 PM