GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
SamadiAhmad


Putrajaya: Jumlah jemaah solat Jumaat dan solat fardu di Wilayah Persekutuan dihadkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.

Berdasarkan kepada lokaliti, solat Jumaat dan fardu di sesetengah kawasan terhad kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau saja manakala di kawasan lain, jumlah maksimum jemaah sehingga 50 orang bergantung kepada kapasiti masjid.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan itu susulan pengumuman terkini oleh kerajaan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, bagi kawasan dilaksanakan PKP, hanya 12 individu terdiri daripada imam, bilal, noja dan ahli jawatankuasa (AJK) yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penjarakan 1.5 meter.

Katanya, bagi solat fardu di surau PPR dan PA DBKL, bilangan jemaah dibenarkan hanya tiga orang terdiri daripada imam, bilal dan noja atau AJK, dengan penjarakan 1.5 meter.

"Seramai 50 individu dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat (bukan PPR dan PA DBKL) yang berkapasiti 1,000 jemaah ke atas, manakala bagi kapasiti 1,000 jemaah ke bawah, bilangan jemaah dibenarkan tidak melebihi 20 orang dengan penjarakan ditetapkan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Ajib berkata, hanya 12 individu dibenarkan solat fardu di masjid, surau Jumaat dan surau (bukan PPR dan PA DBKL) secara berjemaah dan mereka terdiri daripada pegawai masjid dan AJK saja serta perlu mengamalkan penjarakan.

Katanya, bagi kawasan dilaksanakan PKPD, solat Jumaat digantikan dengan solat Zuhur dengan bilangan jemaah seramai tiga orang iaitu imam, bilal dan noja atau AJK.

"Pengurusan jenazah yang membabitkan bukan pesakit Covid-19 hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan had maksimum jurumandi dan lima petugas.

"Solat jenazah hendaklah tidak melebihi 12 orang serta kehadiran bagi pengebumian jenazah tidak melebihi 15 orang termasuk ahli keluarga terdekat.

"Umat Islam di Wilayah Persekutuan disaran terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir dan negara Malaysia tercinta dalam pemeliharaan Allah SWT sentiasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 8:50 PM