Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengulangi kenyataan bahawa vaksin AstraZeneca adalah selamat digunakan termasuk imunisasi kepada golongan warga emas.

Kenyataan itu sekaligus menepis tanggapan segelintir pihak yang bimbang dengan kesan pengambilan vaksin berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihak KKM sentiasa memantau kesan-kesan pemberian vaksin AstraZeneca yang sudah bermula dan disahkan selamat setakat ini.

"Buat masa ini kita tidak menerima laporan mengenai kemungkinan ada kesan sampingan terhadap vaksin AstraZeneca. Kita pun ada minta pakar-pakar hospital bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kesan sampingan kepada penerima.

"Namun setakat hari ini (semalam), vaksin itu adalah selamat dan tiada laporan wujud kesan sampingan selepas pemberian vaksin berkenaan dilakukan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada penerima yang membuat permohonan terbuka suntikan vaksin berkenaan," katanya selepas membuat lawatan ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Covid-19, AMC Medical Clinic, di Seremban 2, di sini, tadi.

DATUK Seri Dr Adham Baba (dua dari kiri) ketika meninjau peti simpanan vaksin di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di AMC Medical Clinic, Seremban 2. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
DATUK Seri Dr Adham Baba (dua dari kiri) ketika meninjau peti simpanan vaksin di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di AMC Medical Clinic, Seremban 2. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata, sebanyak satu juta lagi dos vaksin AstraZeneca akan sampai ke Malaysia pada bulan ini.

Katanya, pemberian dos kedua bagi vaksin AstraZeneca akan dibuat selepas tiga bulan menerima dos pertama.

"Itu adalah berdasarkan data diberikan kepada kita (KKM) oleh pembekal vaksin berkenaan dan setakat ini keberkesanannya adalah 90 peratus," katanya.

Dr Adham berkata, pihak KKM sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sentiasa terjamin.

"Kita ambil maklum akan isu status keselamatan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang tular di luar negara dan vaksin keluaran syarikat itu adalah selamat untuk digunakan di Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:34 PM