GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: SELangkah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa masalah serta kecelaruan berkaitan tempahan slot vaksin AstraZeneca berpunca daripada tempahan yang banyak dibuat melalui aplikasi terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif SELangkah, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, tuduhan dan dakwaan itu tidak mempunyai asas sama sekali.

"Merujuk kepada kenyataan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkenaan masalah serta kecelaruan yang dihadapi berkaitan tempahan slot vaksin AstraZeneca, SELangkah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan dakwaan yang tidak mempunyai asas sama sekali.

"Kami juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara ini seperti yang didakwa.

"Pihak SELangkah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan dakwaan palsu yang bertujuan mencemar reputasi kami," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa CITF mengenal pasti SELangkah, aplikasi dibangunkan kerajaan Selangor membuat tempahan vaksin AstraZeneca dalam jumlah banyak tanpa persetujuan individu terbabit untuk menerima vaksin.

Dalam satu kenyataan, CITF berkata, ia dikenal pasti sebagai punca ada sebilangan individu yang diberikan tarikh janji temu vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka tempoh hari.

Menurutnya, ini termasuk aduan janji temu yang diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca sudah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.

"Semakan dan siasatan mendapati beberapa slot vaksin AstraZeneca ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan individu terbabit untuk menerima vaksin AstraZeneca.

"CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai ini dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 10:43 PM