Penduduk terjejas akibat banjir di Lawas dipindahkan ke PPS. FOTO IHSAN JPBN
Penduduk terjejas akibat banjir di Lawas dipindahkan ke PPS. FOTO IHSAN JPBN
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Hujan lebat selama beberapa jam malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di utara Sarawak dilanda banjir hari ini.

Keadaan itu turut memaksa Lapangan Terbang Lawas ditutup selama tiga hari mulai hari ini berikutan landasannya dinaiki air.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, MASwings membatalkan sebanyak 30 penerbangan ke Lawas hari ini sehingga Sabtu sekali gus menjejaskan seramai 324 orang penumpang yang sudah membuat tempahan tiket.

Beliau berkata, perkhidmatan lapangan terbang itu dijangka disambung semula Ahad ini selepas kerja-kerja membersihkan landasan selesai, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.

"Penumpang yang terjejas dinasihatkan untuk menghubungi MASwings Sdn Bhd di talian bebas tol 1300-88-3000 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai status penerbangan dan tiket mereka termasuk permohonan pertukaran penerbangan atau bayaran balik tertakluk kepada syarat tiket," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, selain Lawas, turut terjejas beberapa kawasan di pedalaman Miri.

Beliau berkata, sehingga jam 2 petang ini, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lawas dan menempatkan seramai 17 penduduk.

PPS di Dewan Masyarakat Trusan itu menempatkan mangsa banjir dari Kampung Seberang Kedai seramai 10 orang dan Kampung Ranau Trusan seramai tujuh orang.

"Sehingga jam 2 petang ini trend air di kawasan Lawas menunjukkan peningkatan.

"Ia membabitkan kawasan Merapok, Kampung Seberang Kedai, Kampung Lubok Abai, Kampung Ranau Trusan, Kampung Long Temarud dan Kampung Suang Trusan, "katanya.

Beliau berkata, paras air di tiga lagi penempatan penduduk di Lawas iaitu Kampung Long Tukon, Kampung Siang-Siang dan Kampung Masjid Baru pula didapati menurun.

Sementara itu di Miri, keadaan air di Long Beruang, Sekolah Kebangsaan (SK) Long Miri, SK Long Luteng, pekan Mulu dan SK Penghulu Baya Mallang menunjukkan peningkatan manakala di Kampung Lellang pula menurun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 3:39 PM