BANJIR melanda beberapa kawasan di utara Sarawak khususnya di Lawas, Limbang dan Marudi akibat hujan lebat sejak kelmarin.  FOTO Ihsan JBPM
BANJIR melanda beberapa kawasan di utara Sarawak khususnya di Lawas, Limbang dan Marudi akibat hujan lebat sejak kelmarin. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seramai 350 penduduk di utara Sarawak ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka dilanda banjir sejak semalam.

Daripada jumlah itu, daerah Lawas mencatat jumlah tertinggi dengan 334 mangsa manakala 16 lagi dipindahkan di Limbang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, daerah Marudi di Miri turut terjejas akibat banjir selepas hujan lebat berterusan kelmarin, namun sehingga kini tiada pemindahan penduduk dilakukan.

Beliau berkata, pemantauan dilakukan di 11 lokasi di Marudi mendapati paras air menunjukkan peningkatan.

"Ketika ini sebanyak empat PPS dibuka di Lawas dan satu di Limbang.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang mencatat jumlah mangsa tertinggi di Lawas iaitu seramai 143 orang, Dewan Masyarakat Trusan pula seramai 100 orang, Dewan SK Sundar seramai 13 orang dan SJK Chung Hwa Trusan seramai 78 orang manakala di Limbang satu PPS dibuka iaitu di Dewan Mendamit yang kini menempatkan 16 mangsa," katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Sementara itu katanya, bekalan air paip di Long Beruang, Marudi, terputus sepenunya apabila berlaku tanah runtuh di kawasan empangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 10:55 AM