Keadaan banjir di Kampung Trusan, Lawas. - Foto Ihsan JPAM
Keadaan banjir di Kampung Trusan, Lawas. - Foto Ihsan JPAM
Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Medamit, Limbang. - Foto Ihsan JPAM
Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Medamit, Limbang. - Foto Ihsan JPAM
Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Hujan lebat diikuti air pasang menyebabkan dua daerah di utara Sarawak dilanda banjir dengan 359 mangsa daripada 106 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara secara berperingkat sejak petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Subuh Posa berkata, di Limbang, 304 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di Dewan Masyarakat Medamit, Limbang, setakat jam 8.35 malam ini.

Menurutnya, penduduk yang terjejas ialah dari Kampung Hujung Medamit dengan pemindahan mangsa mula dibuat pada jam 2 petang tadi.

"Hujan lebat diikuti air pasang menyebabkan kawasan kampung dinaiki air dan mereka dinasihat berpindah sebagai langkah keselamatan," katanya.

Subuh berkata, 55 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di Dewan Masyarakat Trusan, Lawas.

Katanya, penduduk yang terjejas ialah dari Kampung Gelapas, Kampung Seberang Kedai, Kampung Masjid, Kampung Tengah dan Kampung Balai.

"Kawasan ini mula dilanda banjir kilat dan dinaiki air antara paras 0.5 hingga 1.5 meter sejak 5.30 petang semalam.

"Hujan lebat dengan air Sungai Trusan yang pasang menyebabkan banjir berlaku," katanya.

Menurutnya, paras air di Lawas dan Limbang menunjukkan penurunan tetapi penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon berkata, tiada sekolah yang terbabit dengan Pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilanda banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 12:25 AM