ANJING yang cedera parah dipukul seorang lelaki. FOTO ihsan Animal Malaysia
ANJING yang cedera parah dipukul seorang lelaki. FOTO ihsan Animal Malaysia
Redzuan Muharam


PERSATUAN Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) mengesahkan seorang lelaki yang disyaki mencederakan dua anjing hingga parah di kepala dan mata ditahan polis, pagi tadi.

Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, berdasarkan maklumat diterima, lelaki terbabit ditahan di Lukut, Negeri Sembilan.

Menurut Arie, pihaknya berterima kasih kepada polis kerana mengambil tindakan segera selepas menerima aduan daripada wakil persatuan yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor kira-kira 8 malam kelmarin.

“Animal Malaysia tidak memandang ringan aduan berkaitan kes berkenaan yang menyebabkan seekor anjing bernama Karupi cedera parah di kepala dan hampir buta matanya manakala seekor lagi, Rocky cedera di kepala.

“Susulan itu, wakil persatuan membuat laporan polis dan tindakan pantas polis membantu kepada penahanan lelaki itu. Dia ditahan reman selama dua hari.

“Diharap, lelaki itu dikenakan tindakan sewajarnya jika disabitkan kesalahan sebagai balasan di atas perbuatan mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Arie berkata, kedua-dua anjing berkenaan kini mendapat rawatan intensif di sebuah klinik veterinar di Seremban, Negeri Sembilan.

“Sebuah pusat perlindungan haiwan turut membantu menguruskan anjing berkenaan selepas terjadinya insiden itu.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan sudah dimaklumkan mengenai insiden itu dan akan mengambil tindakan susulan.

“Diharap, kes yang berlaku ini membuka mata kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kes penganiayaan membabitkan haiwan kepada persatuan menerusi Whatsapp di talian 011-20901097,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 8:19 PM