Antara bir yang dirampas PGA di sebuah premis di Taman Segar Subang, Shah Alam hari ini. Foto Ihsan PGA
Antara bir yang dirampas PGA di sebuah premis di Taman Segar Subang, Shah Alam hari ini. Foto Ihsan PGA
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis merampas 1,134 kotak bir tidak bercukai dan menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah premis di Taman Segar Subang, Shah Alam, Selangor hari ini.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, menerusi Op Contraband pada 7.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah PGA membuat serbuan di premis terbabit.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan dan tiga warga Myanmar berusia 26 hingga 43 tahun ditahan dan merampas 1,134 kotak bir pelbagai jenama.

"Jumlah keseluruhan rampasan bir pelbagai jenama sebanyak 27,216 tin membabitkan 11,172.24 liter dengan nilai anggaran rampasan adalah sebanyak RM849,844.

"Serbuan ini dipercayai berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran bir tidak bercukai di sekitar daerah Lembah Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad berkata, pihak polis minta masyarakat supaya dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 9:36 PM