ANTARA rampasan pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai hampir RM1 juta. FOTO Briged Tengah Pasukan Gerakan Am
ANTARA rampasan pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai hampir RM1 juta. FOTO Briged Tengah Pasukan Gerakan Am
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing dan merampas pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai hampir RM1 juta, semalam.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, kejayaan itu hasil serbuan di dua rumah berasingan di Taman Universiti, Petaling Jaya dan Subang Jaya, Selangor.

"Dalam serbuan antara jam 12.45 tengah hari hingga 4.15 petang itu, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 28 hingga 58 tahun ditahan.

"Pasukan Cawangan Risik yang melakukan serbuan itu menemui 230 kotak minuman keras pelbagai jenis disyaki tidak bercukai.

"Pasukan turut merampas tiga kenderaan yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan dan empat telefon bimbit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan kedua pula, Muhammad berkata, pasukannya berjaya merampas 401 kotak minuman keras pelbagai jenis disyaki tidak bercukai.

Beliau berkata, kesemua kotak yang dirampas berisi 11,827 tin dan botol minuman keras membabitkan 6,338.52 liter cecair mengandungi empat hingga 40 peratus alkohol dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM972,729.15.

"Berdasarkan siasatan awal, mereka antara sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai di sekitar Lembah Klang yang menjadikan rumah bertingkat sebagai stor penyimpanan sebelum diedarkan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 2:48 PM