GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras susulan penahanan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Miri, semalam.

Dalam Ops Libas itu, PGA berjaya merampas pelbagai barangan termasuk rokok dan arak bernilai lebih RM2.7 juta.

Komander Briged PGA Sarawak Senior Asisten Komisoner Mancha Ata berkata, serbuan sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak dan Batalion 12 PGA di Desa Pujut 2 Permyjaya, Miri itu dilakukan pada 10.30 pagi.

Menurutnya, 10,590 karton rokok putih, 416 karton rokok kretek, 1,479 kotak bir (tin/botol) pelbagai jenama dan 249 kotak minuman keras pelbagai jenama ditemukan di dalam rumah, serta dalam muatan lori jenis Super Delta yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

"Kita juga menahan dua lelaki yang merupakan penjaga stor dan pekerja di rumah itu. Anggaran nilai keseluruhan rampasan merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM2,152,660 termasuk cukai, nilai rampasan bir dan minuman keras sebanyak RM479,920 (termasuk cukai), serta kenderaan bernilai RM70,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mancha berkata, tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 2:32 PM